Arab Saudi | Jeddah 01: Ada Apa dengan Terminal Haji
Jemaah Haji Malaysia menunggu |
Ketibaan di Terminal Haji Lapangan Terbang Antarabangsa King Abdulaziz Jeddah
Kedua-dua kembara
umrah (2011) dan haji (2013) bertitik tolak dengan ketibaan di Terminal Haji Lapangan
Terbang Antarabangsa King Abdul Aziz Jeddah. Saat melangkah keluar daripada
kapal terbang, abang mula terasa bahang mulus di tanah tandus. Suasana ini
cukup asing bagi diriku yang jarang merantau ke benua lain. Kalau sudah
iklimnya berbeza, sudah tentu persekitarannya turut sama bezanya.
Walaupun laman
sesawang Frommers.com menobatkan Terminal Haji Lapangan Terbang Antarabangsa
King Abdulaziz ini pada tangga pertama, pada abang, gahnya lapangan terbang ini
cuma pada keluasannya dan reka bentuk bumbungnya yang mampu mengurangkan bahang
panasnya bumi Arab. Namun aspek kebersihan dan servis adalah terlalu asas dan
masih banyak yang perlu mereka pelajari daripada lapangan terbang negara lain
seperti Malaysia (KLIA), Singapura (Changi) dan Thailand (Suvarnabhumi).
Tidak begitu banyak
yang abang kenali tentang Jeddah. Seperti kebanyakan para jemaah Haji dan umrah
yang lain, Jeddah hanyalah sekadar tempat persinggahan sementara sebelum
meneruskan kembara ke Tanah Haram Makkah atau Madinah.
Di luar terminal Haji, petugas Tabung Haji sedang melayan kerenah Jemaah pelbagai ragam |
Detik-detik Imigresen Terminal Haji
Seorang pegawai imigresen
menyapa Selamat Datang dengan pelat
lidah Pak Arab. Abang tersenyum, sudah pastinya mereka biasa dengan frasa
Bahasa Melayu pendek dan mudah seperti selamat
datang, terima kasih, sama-sama dan beberapa figura (seperti satu, dua,
tiga, sepuluh, lima puluh) bagi urusan jual beli. Tatkala jemaah Malaysia
sedang beratur untuk tujuan pengesahan passport, beberapa pegawai memimpin jemaah
haji Malaysia yang tua dan uzur untuk diberikan keutamaan di kaunter. Abang
tersenyum lagi. Orang Arab di sini tidaklah sekasar yang digambarkan.
Persepsi itu kekal
untuk beberapa saat. Sahaja.
Setibanya di kaunter,
pegawai imigresen mengambil keputusan untuk menutup kaunter dan menyuruh kami
ke kaunter bersebelahan. Di kaunter bersebelahan, pegawai tersebut juga mengambil
keputusan untuk menutup kaunter dan menyuruh kami ke kaunter sebentar tadi.
Umpama bola tennis yang dilantun ke sana sini kami dibuatnya. Maka di hadapan
kami, berlakulah perbalahan yang kurang profesional sesama mereka sehinggalah
seorang daripada mereka mengalah dan terpaksa menguruskan dokumen ketibaan kami
dengan berdecit lidah tanda protes tidak puas hati.
Mungkin sebab itu
Nabi Muhammad SAW diturunkan kepada kaum Arab, bagi menunjukkan bagaimana Islam
itu suatu agama suci yang dapat melembutkan sekasar-kasar bangsa. Maaf kata.
Ketibaan Jemaah kami pada waktu pagi |
Usai urusan
imigresen, kami berjalan menuju ke tempat tuntutan bagasi. Jemaah lain sudah
tidak kelihatan, sudah lebih maju kehadapan barangkali. Dari kejauhan terlihat
tiga buah bagasi besar warna hijau terasing ke tepi, bagai tidak bertuntut
tidak bertuan lagi. Tercegat tiga orang pekerja memerhati siapakah gerangan
tuan empunya bagasi-bagasi ini. Abang berikan senyuman dan hulurkan sedikit
‘buah tangan’ sebagai upah tolong menjagakan. Lantas kami berlalu pergi.
Di mesin scan bagasi, pegawai bertugas meminta
abang membuka komputer riba untuk diperiksa dan diteliti. Tingkahnya kasar,
bikin hati gusar. Setelah meneliti skrin yang bernyala tanpa berbuat apa-apa,
pegawai tersebut mengarahkan kami supaya segera pergi. Apa beliau fikir abang
membawa bahan pornografikah ke mari? Mungkin kalau iya, abang sudah mati
dipanah petir saat melangkah kaki keluar pesawat sebentar tadi. Sengaja mahu tunjuk kuasa, sengaja mahu
melambat masa, ujar seorang pegawai Tabung Haji yang bertugas.
Bisik hati, dugaan
haji sudah bermula. Ujar sinis rakan, itu kaffarah dosa. Kedua-dua pendapat ada
benarnya. Cuma dalam dua perspektif, abang tidak suka memilih negatif. Bahawa
segala yang buruk dalam pengalaman kembara haji itu merupakan kaffarah dosa.
Jika begitu, adakah kita dijemput ke Tanah Suci ini semata-mata untuk dihukum
oleh-Nya? Jika begitu dangkal persepsi tentang Haji, maka tidak ramai orang
yang mahu menjejakkan kaki ke Tanah Suci kerana khuatir dihukum sedemikian
rupa.
Keadaan dalam bas. Ada penghawa dingin. Cukuplah |
Abang melihat Haji
sebagai suatu undangan Sang Pencipta kepada satu peluang untuk merasa lebih
rapat dengan-Nya, dan di sepanjang kembara itulah Sang Pencipta akan memimpin
kita untuk bermuhasabah diri supaya sentiasa sabar, syukur dan redha.
Nikmat-Nya diberi tanpa kita duga dan salahnya kita akan ditegur oleh-Nya.
Moga-moga kita menjadi hambanya yang lebih baik dari sebelumnya. Insya-Allah.
Pada musim Haji, abang
sering diingatkan. Penantian itu suatu kelaziman. Menanti selama tiga hingga
lima jam itu perkara yang perlu dibiasakan. Sediakan bekalan makanan dan
minuman. Banyakkan sabar dan doa, insya-Allah segalanya akan dipermudahkan. Abang
turut berdoa moga masa yang panjang dapat dirasakan seperti dipendekkan. Zikir
dan doa sentiasa meniti di bibir dan lidah. Mengapa agaknya zikir dan doa di
Malaysia tidak begitu mudah? Abang sebenarnya sudah lama tidak berzikir. Astaghfirullah.
Bagasi-bagasi kami diikat rapi di atas bumbung. Namun saat diturunkan, mereka baling sahaja ke bawah. |
Setelah lebih lima
jam berada di lapangan terbang, akhirnya bas kami pun tiba. Perjalanan dari
Jeddah ke Makkah biasanya akan mengambil masa kurang dua jam. Walau
bagaimanapun, keadaan lalu lintas ketika musim haji sukar diduga. Tambahan
pula, Kerajaan Arab Saudi menetapkan supaya kami melapor diri di dua hentian
berbeza. Tidak cukup dengan itu, kami diuji dengan enjin bas yang hampir rosak
dan memperlahankan kembara ke Tanah Suci. Masya-Allah.
Kami perbanyakkan sabar dan doa. Rabbi
Yassir wala Tuassir.
Terfikir sejenak,
bagaimana kembara orang dahulu kala. Menaiki unta. Kenderaan terbuka. Bahang
terasa. Kita hari ini sebenarnya banyak yang perlu disyukurkan.
Saya sering fikir tentang perkara yang sama - bagaimana kembara orang dahulu kala. Waktu dalam kebosanan perjalanan antara Jeddah dan Madinah, terfikir bagaimana peristiwa Hijrah dan perjalanan Rasulullah SAW dan pengikut2nya. Memang kita sepatutnya banyak bersyukur tapi mungkin itulah yang kurangnya dengan kita...
ReplyDeleteBetul. Tapi kembara orang dulu susah, nak buat hajinya mudah kerana tidak begitu ramai orang. Kembara orang sekarang senang, tapi nak buat hajinya susah kerana begitu ramai umat manusia.
ReplyDelete