Arab Saudi | Makkah 02: Detik di Hadapan Kaabah

Struktur sementara buat mereka yang berkerusi roda
















Detik di Hadapan Kaabah

Dan ingatlah ketika Tuhan berfirman kepada malaikat, sesungguhnya Aku (Allah) hendak menjadikan seorang khalifah di muka bumi. Mereka berkata: adakah Engkau (wahai Tuhan) hendak menjadikan di bumi itu orang yang akan membuat bencana dan menumpahkan darah, pada hal kami (para malaikat) sentiasa bertasbih dengan memujiMu dan mensucikanMu? Tuhan berfirman, sesungguhnya Aku mengetahui akan apa yang kamu tidak ketahuinya.” [1]

Menyesali ketelanjuran dalam mempertikaikan firman Allah SWT menjadikan Nabi Adam AS sebagai khalifah di muka bumi, para malaikat lantas menebus dosa mereka dengan melakukan tawaf mengelilingi Arasy. Namun, lantaran Arasy itu tersangatlah luas, Allah menciptakan Baitul Makmur suatu para malaikat mengerjakan tawaf. Manakala bagi para malaikat yang bertugas di bumi, Allah menyuruh mereka membina suatu binaan yang menyamai fungsi Baitul Makmur di langit iaitu Baitullah di tengah-tengah Masjidil Haram.


Kaabah berlatar belakang infrastruktur pembinaan
















Pada malam itu, abang menyaksikan ribuan manusia melakukan tawaf. Bersesak-sesak. Berasak-asak. Bertolak-tolak. Namun tiada jalan pintas atau jalan mudah, abang harus menjadi sebahagian daripada fenomena itu. Dengan penuh rasa kehambaan, abang memegang tangan Mak dan kami memulakan tawaf. Puluhan ribu, malah mungkin jutaan manusia membentuk suatu arus mengelilingi Kaabah yang seolah-olah tiada ruang untuk menunggu sesiapa. Masing-masing utuh dengan urusan tersendiri, iaitu untuk menyempurnakan tawaf. Biar ke kanan dan ke kiri kami ditolak ke tepi, kami tetap tidak akan menolak kembali. Ibadah umrah dan haji itu bukan untuk mencari selesa. Api panas baran abang padam dan abang telan dalam-dalam. Kalau di Malaysia sudah abang maki, di sini, sabar jadi pendinding hati. Di rumah Sang Pencipta, abang bukan siapa-siapa, semua manusia adalah sama, warna ihram juga serupa, yang membezakan ialah taqwa.

Usai tujuh pusingan tawaf, kami terus cuba meloloskan diri di celah-celah kesibukan manusia yang mementingkan urusan sendiri, menuju ke multazam untuk solat sunat dan berdoa. Benar kata orang, gambaran Padang Mahsyar sudah bermula di sini, di mana orang semua nafsi-nafsi. Semua orang sendiri-sendiri. Kami pun mengambil tempat masing-masing untuk menunaikan solat sunat dan berdoa. Tatkala selesai memberikan dua salam, mata abang terpaku di hadapan pintu Kaabah, dan di situ abang dapat melihat Kaabah dari suatu dimensi yang belum abang saksikan sebelum ini.

Fenomena Tawaf
















Masa dirasakan umpama terhenti detiknya. Suara-suara percakapan dan rintihan manusia umpama sirna semuanya. Kelibat manusia mengelilingi Kaabah seolah-olah hilang dari pandangan mata. Tatkala itu hanya ada abang. Dan Kaabah.

Deras seperti air, memori silam lantas mengalir. Otak lantas mengingat seawal detik pertama yang terpahat. Persoalan demi persoalan datang membelenggu secara tiba-tiba. Siapa sebenarnya diri ini? Mengapa abang di sini di bumi ini? Ke mana abang mahu pergi? Pengakhiran abang bagaimanakah nanti? Mendongak ke Kaabah, abang dihenyak rasa kerdilnya diri, hinanya diri, nistanya diri dengan terpalit segala lumpur dan kotor dosa di hadapan Raja segala raja. Itulah detiknya abang benar-benar merasa, abang ini seorang hamba. Astaghfirullah. Abang mohon ampun Ya Allah.

Sa`ie sepanjang jalan
















Sa`ie Cara Siti

Macam itu judulnya. Biasalah. Mahu menarik minat membaca. Judul perlu catchy.

“Wahai Ibrahim, ke manakah kamu hendak pergi? Adakah kamu akan meninggalkan kami di lembah yang tiada berpenghuni dan tiada apa-apa (untuk dimakan)?”

Pertanyaan ini diulangi beberapa kali oleh Siti Hajar, sejurus selepas Nabi Ibrahim menurunkan beliau dan anakandanya, Nabi Ismail di lembah Makkah yang pada ketika itu tiada tanaman atau bekalan air. Namun Nabi Ibrahim AS tidak berpaling kepadanya untuk memberi jawapan.

Akhirnya Siti Hajar berkata, “Adakah ini perintah Allah terhadap kamu?”

Nabi Ibrahim pun berkata, “Ya.” Siti Hajar lalu berkata, “Kalau begitu, Allah pasti tidak akan membiarkan kami.” Siti Hajar kembali semula ke tempat Nabi Ismail AS ditinggalkan seketika sementara Nabi Ibrahim AS meneruskan perjalanannya. Mengimani Allah SWT, Siti Hajar redha dengan ketentuan-Nya dan bersabar dalam menempuh dugaannya kerana beliau yakin Allah SWT bersama-sama dengannya.

Bekalan makanan dan minuman Siti Hajar dan Ismail lama-kelamaan habis, sehinggakan Nabi Ismail menangis kepanasan dan dahaga. Hati ibu yang mana tidak tersentuh melihat anaknya kelaparan, maka Siti Hajar bingkas bangun dan mendaki bukit Safa berdekatan dengan harapan ternampak sesiapa yang boleh membantunya. Namun, beliau kecewa. Siti Hajar terus menuruni bukit Safa dan berjalan-jalan mencari ikhtiar. Runsing dan kebimbangan, beliau menyinsing kainnya dan berlari-lari anak menuju ke Bukit Marwah dan mendakinya untuk tujuan yang sama. Hampa. Tiada kelibat manusia berdekatan. Siti Hajar terus berulang-alik antara bukit Safa dan Marwah sebanyak tujuh kali. Sehinggalah apabila terpancutlah air dari dalam bumi setelah ditendang Nabi Ismail.


Mendaki Bukit Marwah
















Sa`ie bukan sekadar berulang-alik antara dua buah bukit tanpa ada punca dan matlamatnya. Malah sa`ie bagiku merupakan lambang kesungguhan dan keteguhan iman seperti mana yang dizahirkan oleh Siti Hajar. Bermula daripada bukit Safa, kami melakukan sa`ie ke bukit Marwah (dikira satu kali). Kemudian daripada bukit Marwah kami kembali ke bukit Safa (dikira dua kali), sehinggalah kali yang ketujuh, berakhirnya di bukit Marwah. Pergerakan anak muda biasanya lebih laju daripada warga tua, terutamanya lelaki yang disunatkan berlari-lari sepanjang lampu hijau. Namun, memandangkan abang melakukan sa`ie bersama Mak yang sudah tua, pergerakan abang sentiasa seiring dengannya. Setelah melakukan sa`ie, kami bercukur di bukit Marwah. Maka selesailah ibadah umrah kami pada malam tersebut.

Puncak kedua-dua buah bukit jelas kelihatan, dengan bukit Safa dipagar dan bukit Marwah disaluti bahan kimia, mungkin untuk memeliharanya daripada rosak disebabkan oleh mamahan usia atau disebabkan fikiran khurafat manusia. Hari ini jemaah melakukan sa`ie dalam tempat khusus dengan sistem penghawa dingin yang selesa. Berbeza dengan zaman dahulu, jemaah melakukan sa`ie di tengah-tengah kesibukan deretan kedai para penjaja. Dan sesungguhnya berbeza dengan kisah Siti Hajar yang berulang-alik di bawah terik mentari sepanjang tanah berliku, curam dan tidak rata.

Sesungguhnya Safa dan Marwah adalah sebahagian daripada syiar agama Allah. Maka sesiapa yang beribadah haji ke Baitullah atau berumrah, tidak ada dosa baginya mengerjakan sa`ie antara kedua-duanya.” [2]




[1] Al-Baqarah, ayat 30
[2] Surah al-Baqarah, ayat 158.

Comments

Popular Posts