Thailand | Bangkok 03: Menyelusuri Sungai Chao Phraya Sambil Memaki Hamun dengan Riang
Bangun pagi jam 5:30. Solat Subuh. Tidur semula.
Bangun awal untuk menyaksi mentari pagi itu tinggal cita-cita semata. Jam 9:00
pagi baru bangun, itu pun lantaran cahaya mentari pagi menembusi kain langsir
merah, jika tidak mungkin berpotensi bangun esok harinya. Buruk
perangai anak-anak dara bangun lambat.
Kami bingkas bangun dan bersiap untuk kembara di
sekitar kota Bangkok. Hanya berbekalkan peta di tangan kanan dan brosur kembara
di tangan kiri, kami memilih merentasi Sungai Chao Phraya dengan bot. Walaupun
setelah berbincang, berdebat dan berbahas bagai.
Di
Stesen Silom, kami kelihatan termangu-mangu dungu mencari arah hala tuju
sehinggalah seorang lelaki tua menghampiri dan menawarkan diri memberi panduan
di mana lokasi terbaik dengan harga yang murah. Katanya harga termurah ialah
2000 baht satu bot. Selain itu tuk tuk ke sana hanyalah memerlukan 30 baht. Wah,
beruntung sungguh ada orang datang menolong. Siap mengiringi abang dan Hazem ke
tuk tuk lagi. Karpet merah dengan paluan kompang saja yang tiada.
Tuk tuk tersebut membawa kami berdua merentasi
lautan trafik di kota Bangkok menuju ke jeti yang dimaksudkan. Setibanya kami
di jeti yang dimaksudkan, kami disambut dengan penuh kasih sayang dengan
sedikit taklimat yang menerangkan pengembaraan bot yang berharga 3000 baht itu.
Katanya di jeti lain berharga 4000 baht atau lebih. Abang mengitari kawasan
sekeliling. Tiada pelancong lain yang kelihatan. Adakah pengembaraan melalui
bot seperti ini sudah kurang popular? Atau kerana harganya yang mahal?
Usai melaksanakan pembayaran berharga 3000 baht
itu, kami menaiki sebuah bot besar yang boleh memuatkan sehingga 15 orang. Bot
sebesar itu hanya untuk kami berdua. Dan sepasang suami isteri yang mungkin
pemilik bot tersebut. Mahal juga harga pengembaraan sebegini.
Perlahan-lahan bot meninggalkan jeti. Oh, inilah
rupanya Sungai Chao Phraya, medium pengangkutan serta tumpuan utama perdagangan
dan aktiviti ekonomi di Siam berkurun lamanya. Pada hari ini, waima wujudnya
jalan raya berturap, Chao Phraya kekal sebagai medium pengangkutan alternatif.
Kami menyaksikan beberapa bot berlalu pergi,
sama ada dari arah yang serupa atau arah berbeza. Setiap bot memuatkan lebih
daripada dua orang penumpang. Abang dan Hazem berpandangan sesama sendiri.
Sekarang fahamlah abang mengapa tiada pelancong lain di jeti tersebut. Kami
telah ditipu. Kami sebenarnya telah membayar harga untuk seluruh bot!
Pengajaran
1: Lakukan kajian sebelum memulakan pengembaraan. Walau sesingkat mana masa.
Dan yang paling mengerikan, abang terpaksa
mengukir riak wajah: Maaf, kami bukanlah pasangan gay yang sedang berbulan madu
berdua di atas bot ini” kepada para pelancong di
dalam bot lain yang memberikan riak wajah Awwhhhh sweetnya gay couple ini!
Wat Arun
Menyelusuri Sungai Chao Phraya mengingatkan
abang Sungai Muar Johor (kampung halaman). Terlihat bangunan-bangunan bandar
Thailand yang memuatkan ratusan hotel dan pejabat. Jelas sekali rakyat tempatan
sangat mengagungkan Raja mereka dengan banner dan bunting yang diletakkan di kebanyakan
bangunan.
Wat Arun, sebuah kuil Buddha tua tesergam indah
dari jauh setelah 15 meninggalkan jeti. Kami hanya diberi masa selama 20 minit
untuk melawati kawasan ini. 20 minit sahaja. Berguraukah ini laki bini? Abang
bayar 1500 baht tahu! Sudahlah di pintu masuk juga dikenakan bayaran 50 baht.
Turun ke jeti pun kena 20 baht lagi. Kentut pun mungkin
berbayarkah?
Memandangkan kami telah bersedekah amal jariah
kepada perempuan gila anak saudagar penipu di jeti tadi maka kami tidaklah
begitu berwang sangat. Maka, kami memutuskan untuk berjalan-jalan sahaja
keliling Wat Arun. Cuaca yang sangatlah panas, dengan ketiadaan krim sun
block, abang rasa kulit abang seperti digoreng rangup dek cahaya matahari.
20 minit berlalu pergi begitu pantas sekali.
Kami kembali ke bot untuk ke destinasi seterusnya (kalau ada, ya masih
bengang). Kami meninggalkan Wat Arun. Pemandangan sedikit demi sedikit berubah
daripada pemandangan bandar kepada kawasan pertempatan awam. Beberapa rumah tua
masih tesergam megah. Beberapa sampan dan bot kecil di parkir di luar rumah,
mungkin sebagai pengangkutan ke bandar. Atau pergi mengumpat
dengan jiran sebelah.
Kadang-kala kami disapa beberapa penjual yang
menjual buah-buahan dan jajan di atas bot. Kiranya seperti sampan runcit
bergerak. Minta maaf ya, pakcik. Kami tak mahu beli. Sila kayuh ke
sampan sebelah.
Menyedari masa yang diperuntukkan telah hampir
tamat, si suami segera memusingkan bot kea rah jeti berhampiran Grand Palace.
Si isteri segera mengeluarkan brosur kembara wisata ke lokasi lain termasuklah
pertunjukkan ular yang berharga 500 baht. Kalian sudah kencing abang tadi, memang tiada makna abang
nak pergi oi. Abang belit ular tu pada leher kau orang nanti (walaupun sendiri
geli kan).
Saat menghampiri jeti, si isteri meminta tips.
Abang tak mahu beri. Hazem berhati mulia nan waja bersetuju memberi 20 baht. Si
isteri tergelak jahat dan meminta 100 baht. Orang beri betis, nak peha! Aku
terajang juga suami isteri masuk sungai nanti. Maka kami terus tidak jadi
memberi wang upah kepada pasangan yang tidak tahu bersyukur ini.
Ya, tumpang turun di jeti ini pun kena 20 baht.
Abang rasa nak menerajang angin.
Kami berlalu menuju ke Grand Palace, merentasi
deretan kedai kopi dan kedai runcit usang, meninggalkan pasangan tersebut
terpinga-pinga menanti mangsa lain yang tidak peka dengan tipu daya bandar
Bangkok seperti abang berdua. Pengajaran buat abang, pengajaran buat kalian
semua. Tidak mengapa. Ini pengalaman pertama abang.
Bersambung…
wah macam slot Akasia Tv3 pula.
Comments
Post a Comment