Arab Saudi | Makkah 05: Rentas Muzdalifah ke Mina

Melangkah pulang setelah melontar sesudah Subuh. Mentari pagi sedang merangkak ke langit.

"Apabila kamu berangkat dari Arafah maka sebutlah nama Allah di Masy`ar al-Haram (Muzdalifah)."
Surah Al-Baqarah ayat 198

Melintasi Muzdalifah
Mabit di Muzdalifah. Memadai walau seketika. Memadai walau sekejap sahaja. Memadai walau sekadar merentasi buminya. Sayang sekali abang di sini tidak lama, sekadar di dalam bas sambil memerhati dari jendela, menyaksi suasananya bagaimana. Selautan umat manusia.

Meninggalkan Bumi Arafah
Para jemaah bergegas pulang ke khemah seusai solat Isyak berjemaah. Selesai berkampung di bumi Arafah, para jemaah perlu hijrah ke Mina melalui Muzdalifah. Barang-barang dikemas rapi, agar tiada yang tertinggal lagi. Gerak geri dan hala tuju jemaah Haji ke sana dan ke mari, semuanya telah diatur oleh pihak berautoriti Arab Saudi, maka giliran untuk bertolak ke Mina juga perlu menunggu arahan diberi.

Jemaah berbaring dan berehat di gigi lebuh raya, pertaruh nyawa

Lebih kurang jam 10 malam, bas yang dijadualkan tiba tepat pada masanya. Kami menaiki bas yang disediakan dan bertolak ke Mina, merentasi bumi Muzdalifah. Lafaz zikir dan talbiah silih berganti, penyejuk hati, memuji Ilahi. Moga jalan dipermudah, jangan ada menempuh susah. Sayu juga hati meninggalkan bumi Arafah. Adakah diberi peluang sekali lagi, entah?

Dalam perjalanan, abang melontarkan pandangan ke luar jendela bas. Kelihatan umat manusia begitu ramai sekali, umpama lautan putih tidak bertepi. Di tepi-tepi jalan raya mereka terlena, tidak mengenal dingin atau bahaya, semata-mata mencari keredhaan-Nya. Syukurnya abang diberi seluruh selesa. Alhamdulillah. Jauh di sudut hati, abang mendoakan sekelian mereka, agar segala urusan turut dipermudahkan Tuhan. Amin.

Lautan manusia. Tidak pernah abang saksikan manusia seramai itu

Kami meneruskan perjalanan kami. Talbiah yang berganti-ganti kian perlahan, tanda sudah kepenatan dan keletihan. Dihenyak rasa kantuk, sehingga kepala tersengguk-sengguk.  Ya Allah, permudahkanlah perjalanan kami. 

Ketibaan di Mina
Setelah beberapa jam menempuh kesesakan yang tidak seberapa, akhirnya abang tiba di bumi Mina. Syukur alhamdulillah, kami selamat tiba di Mina kurang dari tiga jam, sedangkan sebelum ini abang telah dimomok-momokkan kisah orang yang terperangkap dalam kesesakan lebih enam jam!

Itulah bumi Mina yang sebenar-benarnya. Berbeza dengan jemaah muassasah yang ditempatkan di Muassim lebih kurang 3 km jauhnya dari lokasi melontar. Mengenang kesihatan fizikal Bonda yang tidak begitu mengizinkan, abang bersyukur ditempatkan di Mina, hanya beberapa meter sahaja dari tempat melontar. 


Saat melangkah masuk ke dalam khemah, abang terlihat tilam-tilam tersusun rapi, lengkap dengan perkakas mandi, dan beberapa batu melontar terikat dalam uncang putih berseri. Mewah sungguh jemaah Aqiq, hinggakan tidak perlu mencangkung tercari-cari batu di celah-celah tanah di Muzdalifah. Sedikit kecewa kerana tidak berpeluang merasa pengalaman sebegitu, namun jika difikirkan, inilah nikmat Allah SWT yang membantu agar urusan dipermudah. Lain orang, lain dugaannya, bukan? Syukur Alhamdulillah

Daripada empat buah bas Jemaah Aqiq dari bumi Arafah, bas abang merupakan bas yang pertama tiba. Khemah besar kelihatan lengang untuk sejam yang pertama, apatah lagi ayahanda-ayahanda kesayangan belum kunjung tiba. Tilam abang di bahagian tepi sekali, memudah Bonda dan Kak Izah menjengah sendiri. Sebelum rombongan besar tiba, ada baiknya abang menyelesaikan segala urusan peribadi yang mungkin tidak dapat ditangguh lagi. Walaupun tandasnya tidak sebegitu cantik seperti di bumi Arafah, terpaksalah selesaikan di mana adanya. Pandang atas sudah.

Suasana khemah di bumi Mina.

Selesai urusan dan hajat-hajat tertangguh, abang menyempurnakan wuduk dan kembali ke khemah. Abang hamparkan tilam yang tersedia dan melelapkan mata seketika. Sejuk juga bumi Mina di waktu malam. Abang menarik selimut rapat-rapat dan menggenggam hujungnya ketat-ketat. Suasana dipenuhi bunyi bas-bas berlalu pergi, suara-suara Pak Arab berteriak sana sini, lintasan jemaah dengan selipar dan derapan kaki dan sayup-sayup suara orang mengaji. Abang terbuai dengan angan sendiri dan akhirnya dijemput mimpi. 

Comments

Popular Posts