Sunday, 23 November 2014

Berpindah

Alhamdulillah. Akhirnya tercapai hajat memiliki website sendiri. Blog ini secara rasminya berpindah ke:


Kalau ada kelapangan, jemputlah baca. InsyaAllah. Post lama-lama juga akan dipindahkan ke sana. 


Wednesday, 4 June 2014

Arab Saudi | Makkah 05: Rentas Muzdalifah ke Mina

Melangkah pulang setelah melontar sesudah Subuh. Mentari pagi sedang merangkak ke langit.

"Apabila kamu berangkat dari Arafah maka sebutlah nama Allah di Masy`ar al-Haram (Muzdalifah)."
Surah Al-Baqarah ayat 198

Melintasi Muzdalifah
Mabit di Muzdalifah. Memadai walau seketika. Memadai walau sekejap sahaja. Memadai walau sekadar merentasi buminya. Sayang sekali abang di sini tidak lama, sekadar di dalam bas sambil memerhati dari jendela, menyaksi suasananya bagaimana. Selautan umat manusia.

Meninggalkan Bumi Arafah
Para jemaah bergegas pulang ke khemah seusai solat Isyak berjemaah. Selesai berkampung di bumi Arafah, para jemaah perlu hijrah ke Mina melalui Muzdalifah. Barang-barang dikemas rapi, agar tiada yang tertinggal lagi. Gerak geri dan hala tuju jemaah Haji ke sana dan ke mari, semuanya telah diatur oleh pihak berautoriti Arab Saudi, maka giliran untuk bertolak ke Mina juga perlu menunggu arahan diberi.

Jemaah berbaring dan berehat di gigi lebuh raya, pertaruh nyawa

Lebih kurang jam 10 malam, bas yang dijadualkan tiba tepat pada masanya. Kami menaiki bas yang disediakan dan bertolak ke Mina, merentasi bumi Muzdalifah. Lafaz zikir dan talbiah silih berganti, penyejuk hati, memuji Ilahi. Moga jalan dipermudah, jangan ada menempuh susah. Sayu juga hati meninggalkan bumi Arafah. Adakah diberi peluang sekali lagi, entah?

Dalam perjalanan, abang melontarkan pandangan ke luar jendela bas. Kelihatan umat manusia begitu ramai sekali, umpama lautan putih tidak bertepi. Di tepi-tepi jalan raya mereka terlena, tidak mengenal dingin atau bahaya, semata-mata mencari keredhaan-Nya. Syukurnya abang diberi seluruh selesa. Alhamdulillah. Jauh di sudut hati, abang mendoakan sekelian mereka, agar segala urusan turut dipermudahkan Tuhan. Amin.

Lautan manusia. Tidak pernah abang saksikan manusia seramai itu

Kami meneruskan perjalanan kami. Talbiah yang berganti-ganti kian perlahan, tanda sudah kepenatan dan keletihan. Dihenyak rasa kantuk, sehingga kepala tersengguk-sengguk.  Ya Allah, permudahkanlah perjalanan kami. 

Ketibaan di Mina
Setelah beberapa jam menempuh kesesakan yang tidak seberapa, akhirnya abang tiba di bumi Mina. Syukur alhamdulillah, kami selamat tiba di Mina kurang dari tiga jam, sedangkan sebelum ini abang telah dimomok-momokkan kisah orang yang terperangkap dalam kesesakan lebih enam jam!

Itulah bumi Mina yang sebenar-benarnya. Berbeza dengan jemaah muassasah yang ditempatkan di Muassim lebih kurang 3 km jauhnya dari lokasi melontar. Mengenang kesihatan fizikal Bonda yang tidak begitu mengizinkan, abang bersyukur ditempatkan di Mina, hanya beberapa meter sahaja dari tempat melontar. 


Saat melangkah masuk ke dalam khemah, abang terlihat tilam-tilam tersusun rapi, lengkap dengan perkakas mandi, dan beberapa batu melontar terikat dalam uncang putih berseri. Mewah sungguh jemaah Aqiq, hinggakan tidak perlu mencangkung tercari-cari batu di celah-celah tanah di Muzdalifah. Sedikit kecewa kerana tidak berpeluang merasa pengalaman sebegitu, namun jika difikirkan, inilah nikmat Allah SWT yang membantu agar urusan dipermudah. Lain orang, lain dugaannya, bukan? Syukur Alhamdulillah

Daripada empat buah bas Jemaah Aqiq dari bumi Arafah, bas abang merupakan bas yang pertama tiba. Khemah besar kelihatan lengang untuk sejam yang pertama, apatah lagi ayahanda-ayahanda kesayangan belum kunjung tiba. Tilam abang di bahagian tepi sekali, memudah Bonda dan Kak Izah menjengah sendiri. Sebelum rombongan besar tiba, ada baiknya abang menyelesaikan segala urusan peribadi yang mungkin tidak dapat ditangguh lagi. Walaupun tandasnya tidak sebegitu cantik seperti di bumi Arafah, terpaksalah selesaikan di mana adanya. Pandang atas sudah.

Suasana khemah di bumi Mina.

Selesai urusan dan hajat-hajat tertangguh, abang menyempurnakan wuduk dan kembali ke khemah. Abang hamparkan tilam yang tersedia dan melelapkan mata seketika. Sejuk juga bumi Mina di waktu malam. Abang menarik selimut rapat-rapat dan menggenggam hujungnya ketat-ketat. Suasana dipenuhi bunyi bas-bas berlalu pergi, suara-suara Pak Arab berteriak sana sini, lintasan jemaah dengan selipar dan derapan kaki dan sayup-sayup suara orang mengaji. Abang terbuai dengan angan sendiri dan akhirnya dijemput mimpi. 



Thursday, 24 April 2014

Arab Saudi | Makkah 04: Arafah - Mengejar Mentari Petang



Gahnya Hari Arafah

Di bumi Arafah jemaah berhimpun, tempat bersujud memohon ampun, wukuf di tanahnya menjadi rukun. Haji tanpa Arafah umpama lauk tidak berencah atau mandi yang tidak basah. Berbicara tentang ibadah haji, Arafah ialah kemuncak yang dinanti.[1]

Di sini, Nabi Adam AS dan Hawa disatukan kembali setelah diturunkan ke bumi. Di sini, Nabi Ibrahim AS diasuh oleh Jibrail tentang manasik Haji. Di sini, turunnya ayat al-Quran yang terakhir sekali.[2] Dan di sini, Nabi Muhammad SAW menyampaikan khutbahnya buat terakhir kali.


Hakikatnya, Arafah bukan sahaja menjadi saksi lakaran peristiwa-peristiwa bersejarah berabad lamanya. Bahkan, hari Arafah telah dijanjikan dengan limpahan rahmat dan pengampunan dosa yang tidak terbanding dengan hari-hari yang lain. Allah SWT menciptakan setiap hari sepanjang tahun, namun hari yang paling mulia di sisi-Nya ialah hari Arafah.

“Wukuf yang kamu lakukan pada hari Arafah, sesungguhnya Allah SWT turun ke langit dunia (paling bawah) dan berbangga-bangga dengan kamu kepada Malaikat dengan firman-Nya: Hamba-hamba-Ku datang dari segenap pelusuk yang jauh, dalam keadaan tidak terurus dan berdebu-debu tubuh mereka, semata-mata mengharapkan syurga-Ku. Jika mereka datang dengan dosa sebanyak bilangan pasir, titisan hujan atau buih di lautan nescaya Aku akan menghapuskan kesemuanya. Allah SWT berfirman: Keluarlah kamu dari Arafah dengan dosa yang telah diampunkan daripada kamu dan bagi sesiapa yang kamu meminta ampun untuk mereka.” [3]


Pagi di Arafah
Sesekali abang terjaga dari lena dek dengkuran ayahanda-ayahanda umpama keretapi meluncur di landasan. Namun impak ubat selsema begitu hebat sehingga abang terlena jua penuh kepuasan. Setelah beberapa jam melelapkan mata, kira-kira jam 4:30 pagi abang dikejutkan. Alhamdulillah. Demam, batuk, selsema hilang dari badan. Kuasa Tuhan.

Membersihkan diri seawal pagi juga merupakan suatu misi. Jemaah beratur menanti giliran sendiri. Panjangnya barisan menggambarkan betapa terhadnya kamar mandi.

Sementara menanti kedatangan Subuh, kami solat sunat beramai-ramai di surau. Solat tahajjud, solat taubat, solat tasbih dan pelbagai jenis solat sunat yang abang belum pernah dengar sebelum ini. Bilangan rakaat tidak terhitung, namun kami gagahkan juga demi fadhilatnya. Akhirnya, azan Subuh berkumandang memecah hening pagi di bumi Arafah, bersahutan dan bergema sesama sendiri dari kejauhan.


Sedang dihenyak rasa bahang dan hangat, Arafah mencuit kita agar sering beringat. Tan Sri atau Datuk Seri semua ke tepi. Doktor atau professor semua hilang sohor. Datin atau Datuk semuanya tertunduk. Di muka pengadilan, di sisi Tuhan, Di Padang Mahsyar kita akan dihimpunkan, tanpa mengira pangkat atau kedudukan, semuanya membisu di hadapan pengadilan, yang ada cuma bekalan amalan.

Serabut dan kusut. Ihram yang menggulung tubuh ini umpama meregas segala bentuk keselesaan yang menyelubungi nafsu selama ini. Namun abang bersyukur lantaran segala kesakitan yang aku alami hari sebelumnya sirna semuanya.


Kemuncak Hari Arafah
Terngiang-ngiang bisikan sahabat abang, Fizri Said: “Tidurlah kau sepuas-puasnya pada sebelah pagi. Berdoalah sepuas-puasnya sepanjang petang hari. Andai kau termasuk golongan orang yang tertidur di kala itu, maka engkau rugi.”

Usai solat berjemaah Jamak Qasar Zuhur Asar, kedengaran alunan zikir taubat dan doa diperdengarkan. Setiap bait dan barisnya menjadi ikutan. Segala lafaz dan maknanya di bawah bimbingan.  Di sebalik kaca mata hitam itu, tewas juga hati keras abang yang akhirnya mengalirkan air mata. Pakcik-pakcik, abang-abang dan adik-adik di sekeliling abang sudah teresak-esak semuanya.


Dosa kepada ayahanda dan bonda seumur kehidupan. Dosa kepada isteri sejak bersamaan, Dosa kepada rakan-rakan dan sesame insan. Moga-moga dengan air mata berlinangan, dosaku hilang berterbangan.

Demi suatu permukiman yang amat singkat dan sementara, abang kuatkan semangat untuk terus berdoa kepada yang Maha Esa, Maha Mengetahui segalanya. Kehadiran abang di bumi Arafah pada hari ini adalah telah ditentukan. Dari jutaan manusia, abang dipilih oleh-Nya.


Umpama Tertutupnya Pintu Kemaafan
Doa abang tidak putus. Dari petang sehingga mentari bergerak perlahan-lahan ke ufuk senja. Seorang demi seorang bingkas bangun dari tempat masing-masing, maju kehadapan, seakan-akan mengejar mentari yang seolah-olah meninggalkan. Semakin hari semakin gelap. Mentari semakin lama semakin tenggelam. Mulut kami terkumat-kamit melafazkan doa apa yang terlintas di minda. Akhirnya mentari tidak kelihatan lagi, menandakan berakhirlah suatu peluang untuk kami semua memohon maaf lagi. Dan meminta lagi. Mungkinkah kami mendapat peluang sebegini lagi, kami tidak pasti.


“Pada hari ini, Aku telah sempurnakan bagi kamu agama kamu, dan aku telah cukupkan nikmatKu kepada kamu dan Aku telah redhakan Islam itu menjadi agama kamu…” (Surah al-Maidah, ayat 3)

Ya Allah, ampunkan dosa kami.




[1] “Haji itu ialah Arafah.” Sunan Abu Daud, No. 1949, Sunan al-Tirmizi, No. 889.
[2]Pada hari ini Abang telah sempurnakan bagi kamu agama kamu, mencukupkan nikmat-Ku ke atas kamu dan meredhai bagi kamu Islam sebagai agamamu.” (Surah al-Maidah, ayat 3). Diriwayatkan juga bahawa Tariq bin Shihab berkata: “Seorang lelaki Yahudi datang kepada Umar bin Al-Khattab lalu berkata: Wahai Amirul Mukminin, terdapat satu ayat dalam kitab kamu jika ini diturunkan kepada kami kaum Yahudi, kami akan jadikan hari ini sebagai satu perayaan. Lalu Umar bertanya: Apakah ayat itu? Katanya: (ayat Quran). Umar menjawab: Kami tahu hari dan tempat di mana ayat tersebut diturunkan kepada Rasulullah SAW iaitu ketika Baginda sedang berdiri di Arafah pada hari Jumaat (Sahih al-Bukhari No. 45, Sahih Muslim No 3017)
[3] Daripada Ibnu Umar, Rasulullah SAW bersabda dalam Sahih Muslim, no 1438.


Tuesday, 22 April 2014

Arab Saudi | Makkah 03: Menjelang Hari Arafah

Khusyuk mendengar khutbah hari Arafah




























Sebelum berangkat ke Tanah Suci, abang telah dimomok-momokkan dengan pelbagai cerita tentang kembara ke bumi Arafah – Muzdalifah – Mina. Termasuklah kisah kesesakan lalu lintas yang memakan masa sehingga enam jam, bilangan tandas yang terhad untuk ratusan jemaah yang pelbagai ragam dan keadaan tandas dengan bau-bau yang lain macam. Sehingga abang menjadi runsing memikirkan tabiatku yang kerap membuang air jika kesejukan dalam bas dan sangat cerewet dengan perihal keadaan tandas.

Bonda berpesan, rabbi yassir wala tu`assir. Kalau Sang Pencipta boleh memberi pertolongan ke Tanah Suci dalam keadaan tidak terjangka, apatah lagi perkara-perkara enteng seperti keadaan tandas dan membuang air. Dia Maha Kuasa. Minta daripada-Nya. Maka antara doa abang sebelum ke Tanah Suci termasuklah semoga abang tidak selalu merasa hendak terkencing masa di dalam bas dan semoga abang berselera mahu membuang air di tandas-tandasnya.

Tampak pendek barisannya. Nun di hadapan, belok kanan, ada lah dalam 10 ke 15 orang lagi.



























Beberapa hari sebelum menjelang hari Arafah, abang mendapat berita bahawa padang Arafah telah dilanda ribut yang telah merosakkan dan menerbangkan beberapa buah khemah jemaah pula. Abang juga tidak terkecuali daripada dilanda kekhuatiran. Sekali lagi Bonda mengingatkan, Dia Maha Kuasa. Minta daripada-Nya. Lantas abang berdoa lagi.

Tidak cukup dengan itu, sehari sebelum berangkat, abang menjadi tidak sihat. Demam, batuk, selsema, sakit kepala, semuanya menyatu menjadikan abang kurang upaya dan kurang selera. Astagfirullah. Hari Arafah itu sangatlah penting. Abang memerlukan semua tenaga untuk memanfaatkan hari tersebut. Sakitku itu membuatkan abang berfikir sejenak. Seperti mana Siti Hajar sabar ditinggalkan di tanah tandus, seperti mana Nabi Ayub AS redha dijangkiti sakit, abang juga harus sabar dengan sedikit rasa sakit, redha dengan ketentuan ujian Tuhan dan syukur, dalam kesakitan ini juga abang dijemput menikmati hari Arafah.

Langit senja bumi Arafah
  
Menuju ke Destinasi, Puncak Cinta Tertinggi, Yeah, Yeah

Tanggal 8 Zulhijjah, kami ke padang Arafah. Seawal jam 2:00 petang menanti, tepat jam 4:00 petang kami bertolak pergi. Dengan ihram berpaut di tubuh badan, kami bertalbiah sepanjang jalan. Zikir dan doa diperbanyakkan, moga tidak menempuh sebarang kesesakan, moga segala-galanya dipermudahkan. Andai jalannya sesak, andainya bas tidak bergerak, kami akan sabar dan redha, ya Allah.

Setelah hampir 45 minit bas meluncur di atas jalan tanpa ada halangan, akhirnya kami tiba di padang Arafah. Abang mengangkat tangan memanjatkan syukur dan doa kerana perjalanan kami dipermudah. Mungkin kerana ramai jemaah lain sedang berada di Mina. Mungkin kerana ini limpah rahmat-Nya. Atau mungkin juga ini dugaan-Nya. Demi melihat kita ini syukur atau alpa. Terima kasih dan sekalung tahniah abang ucapkan kepada para petugas Tabung Haji yang sentiasa cekap dan sedia siaga.

Deretan khemah putih pakej Aqiq dan Nilam Tabung Haji


Di hadapanku tersergam sebuah khemah besar warna putih. Tidak seperti yang dikisahkan rakan atau diilustrasikan bahan bacaan. Tiada lutut berlaga lutut, kain ihram bersangkut-sangkut, tempat dingin direbut-rebut. Setiap tilam tebal dilabel dengan nombor, disertakan dengan bantal kecil dan selimut. Sebenarnya kami di pakej Aqiq ini dilayan cukup mewah. Tidak seperti rakan-rakan di pakej Muassasah. Namun kami kedua-duanya diuji. Rakan-rakan Muassasah diuji dengan kesabaran menahan panas dan serba kekurangan. Kami diuji dengan kemewahan segalanya dibekalkan.

Setelah meletakkan beg pakaian, abang terus keluar melawat kawasan. Mencari surau, tandas dan dewan makan. Tidak jauh dari khemah, suraunya hanyalah barisan kanopi yang didirikan di hujung bukit, dengan pemandangan mentari terbenam di hujung langit. Dari atas bukit itu jugalah abang menyaksikan ribuan atau mungkin jutaan khemas putih seluas pandangan, memenuhi setiap genap sudut bumi Arafah. Mentari sudah di ufuk senja, abang harus pulang ke khemah merehatkan jiwa dan minda. Moga demam ini kebah segera.


Di khemah itu juga abang dipertemukan dengan tiga orang ayahanda. Abdul Aziz (bekas pegawai bank), Ahmad Tauweed (bekas pengetua sekolah) dan Qamarudeen (ahli perniagaan). Begitulah indahnya kembara Haji. Menemukan hati-hati kami agar saling mengasihi umpama keluarga sendiri.

Aneka gelang Jemaah Haji


TIPS
  1. Selami rasa kehambaan kepada Sang Pencipta. Kita ini hamba-Nya. Tidak kiralah pangkat atau kedudukan kita apa. Yang membezakan kita hanya taqwa. Semua milik-Nya. Kalau semua diambil semula, satu sen pun tidak berguna.
  2. Pohon keampunan dan kemaafan. Keampunan daripada Sang Pencipta. Kemaafan daripada sesama manusia. Taubat dan kemaafan itu membersihkan jiwa. Molek kiranya kita menghadap-Nya dengan kebersihan jiwa.
  3. Jaga kesihatan. Minum air secukupnya. Makan biarlah berpada-pada. Ambil vitamin dengan kadarannya. Keluar ke masjid dengan penutup muka. Benar, penyakit dan penawar semua daripada-Nya. Namun sebagai hamba, kita juga hendaklah berusaha.
  4. Senaraikan doa dalam sebuah buku khas dengan label yang sistematik, contohnya doa untuk meneguhkan iman di dada, doa untuk ibu bapa dan keluarga, doa untuk kesihatan dan usia, doa untuk kerjaya, doa untuk jodoh atau cahaya mata dan doa-doa kiriman kenalan, sahabat dan taulan semua. Supaya nanti tidaklah terselak-selak, tercari-cari doa daripada pelbagai buku doa yang dibawa. Berdoa di Arafah pun perlu strategi macam nak jawab periksa.
  5. Pastikan segala kelengkapan telah tersedia untuk dibawa seperti pakaian untuk tempoh empat hari, kain ihram, makanan dalam bas, buku doa. Misi kita di Arafah amat penting, dan sudah tentu tidak mahu terganggu fokus oleh perkara kecil-kecil.


InsyaAllah. Semoga dipermudahkan urusan kita. 

Hairi Tahir


Arab Saudi | Makkah 02: Detik di Hadapan Kaabah

Struktur sementara buat mereka yang berkerusi roda
















Detik di Hadapan Kaabah

Dan ingatlah ketika Tuhan berfirman kepada malaikat, sesungguhnya Aku (Allah) hendak menjadikan seorang khalifah di muka bumi. Mereka berkata: adakah Engkau (wahai Tuhan) hendak menjadikan di bumi itu orang yang akan membuat bencana dan menumpahkan darah, pada hal kami (para malaikat) sentiasa bertasbih dengan memujiMu dan mensucikanMu? Tuhan berfirman, sesungguhnya Aku mengetahui akan apa yang kamu tidak ketahuinya.” [1]

Menyesali ketelanjuran dalam mempertikaikan firman Allah SWT menjadikan Nabi Adam AS sebagai khalifah di muka bumi, para malaikat lantas menebus dosa mereka dengan melakukan tawaf mengelilingi Arasy. Namun, lantaran Arasy itu tersangatlah luas, Allah menciptakan Baitul Makmur suatu para malaikat mengerjakan tawaf. Manakala bagi para malaikat yang bertugas di bumi, Allah menyuruh mereka membina suatu binaan yang menyamai fungsi Baitul Makmur di langit iaitu Baitullah di tengah-tengah Masjidil Haram.


Kaabah berlatar belakang infrastruktur pembinaan
















Pada malam itu, abang menyaksikan ribuan manusia melakukan tawaf. Bersesak-sesak. Berasak-asak. Bertolak-tolak. Namun tiada jalan pintas atau jalan mudah, abang harus menjadi sebahagian daripada fenomena itu. Dengan penuh rasa kehambaan, abang memegang tangan Mak dan kami memulakan tawaf. Puluhan ribu, malah mungkin jutaan manusia membentuk suatu arus mengelilingi Kaabah yang seolah-olah tiada ruang untuk menunggu sesiapa. Masing-masing utuh dengan urusan tersendiri, iaitu untuk menyempurnakan tawaf. Biar ke kanan dan ke kiri kami ditolak ke tepi, kami tetap tidak akan menolak kembali. Ibadah umrah dan haji itu bukan untuk mencari selesa. Api panas baran abang padam dan abang telan dalam-dalam. Kalau di Malaysia sudah abang maki, di sini, sabar jadi pendinding hati. Di rumah Sang Pencipta, abang bukan siapa-siapa, semua manusia adalah sama, warna ihram juga serupa, yang membezakan ialah taqwa.

Usai tujuh pusingan tawaf, kami terus cuba meloloskan diri di celah-celah kesibukan manusia yang mementingkan urusan sendiri, menuju ke multazam untuk solat sunat dan berdoa. Benar kata orang, gambaran Padang Mahsyar sudah bermula di sini, di mana orang semua nafsi-nafsi. Semua orang sendiri-sendiri. Kami pun mengambil tempat masing-masing untuk menunaikan solat sunat dan berdoa. Tatkala selesai memberikan dua salam, mata abang terpaku di hadapan pintu Kaabah, dan di situ abang dapat melihat Kaabah dari suatu dimensi yang belum abang saksikan sebelum ini.

Fenomena Tawaf
















Masa dirasakan umpama terhenti detiknya. Suara-suara percakapan dan rintihan manusia umpama sirna semuanya. Kelibat manusia mengelilingi Kaabah seolah-olah hilang dari pandangan mata. Tatkala itu hanya ada abang. Dan Kaabah.

Deras seperti air, memori silam lantas mengalir. Otak lantas mengingat seawal detik pertama yang terpahat. Persoalan demi persoalan datang membelenggu secara tiba-tiba. Siapa sebenarnya diri ini? Mengapa abang di sini di bumi ini? Ke mana abang mahu pergi? Pengakhiran abang bagaimanakah nanti? Mendongak ke Kaabah, abang dihenyak rasa kerdilnya diri, hinanya diri, nistanya diri dengan terpalit segala lumpur dan kotor dosa di hadapan Raja segala raja. Itulah detiknya abang benar-benar merasa, abang ini seorang hamba. Astaghfirullah. Abang mohon ampun Ya Allah.

Sa`ie sepanjang jalan
















Sa`ie Cara Siti

Macam itu judulnya. Biasalah. Mahu menarik minat membaca. Judul perlu catchy.

“Wahai Ibrahim, ke manakah kamu hendak pergi? Adakah kamu akan meninggalkan kami di lembah yang tiada berpenghuni dan tiada apa-apa (untuk dimakan)?”

Pertanyaan ini diulangi beberapa kali oleh Siti Hajar, sejurus selepas Nabi Ibrahim menurunkan beliau dan anakandanya, Nabi Ismail di lembah Makkah yang pada ketika itu tiada tanaman atau bekalan air. Namun Nabi Ibrahim AS tidak berpaling kepadanya untuk memberi jawapan.

Akhirnya Siti Hajar berkata, “Adakah ini perintah Allah terhadap kamu?”

Nabi Ibrahim pun berkata, “Ya.” Siti Hajar lalu berkata, “Kalau begitu, Allah pasti tidak akan membiarkan kami.” Siti Hajar kembali semula ke tempat Nabi Ismail AS ditinggalkan seketika sementara Nabi Ibrahim AS meneruskan perjalanannya. Mengimani Allah SWT, Siti Hajar redha dengan ketentuan-Nya dan bersabar dalam menempuh dugaannya kerana beliau yakin Allah SWT bersama-sama dengannya.

Bekalan makanan dan minuman Siti Hajar dan Ismail lama-kelamaan habis, sehinggakan Nabi Ismail menangis kepanasan dan dahaga. Hati ibu yang mana tidak tersentuh melihat anaknya kelaparan, maka Siti Hajar bingkas bangun dan mendaki bukit Safa berdekatan dengan harapan ternampak sesiapa yang boleh membantunya. Namun, beliau kecewa. Siti Hajar terus menuruni bukit Safa dan berjalan-jalan mencari ikhtiar. Runsing dan kebimbangan, beliau menyinsing kainnya dan berlari-lari anak menuju ke Bukit Marwah dan mendakinya untuk tujuan yang sama. Hampa. Tiada kelibat manusia berdekatan. Siti Hajar terus berulang-alik antara bukit Safa dan Marwah sebanyak tujuh kali. Sehinggalah apabila terpancutlah air dari dalam bumi setelah ditendang Nabi Ismail.


Mendaki Bukit Marwah
















Sa`ie bukan sekadar berulang-alik antara dua buah bukit tanpa ada punca dan matlamatnya. Malah sa`ie bagiku merupakan lambang kesungguhan dan keteguhan iman seperti mana yang dizahirkan oleh Siti Hajar. Bermula daripada bukit Safa, kami melakukan sa`ie ke bukit Marwah (dikira satu kali). Kemudian daripada bukit Marwah kami kembali ke bukit Safa (dikira dua kali), sehinggalah kali yang ketujuh, berakhirnya di bukit Marwah. Pergerakan anak muda biasanya lebih laju daripada warga tua, terutamanya lelaki yang disunatkan berlari-lari sepanjang lampu hijau. Namun, memandangkan abang melakukan sa`ie bersama Mak yang sudah tua, pergerakan abang sentiasa seiring dengannya. Setelah melakukan sa`ie, kami bercukur di bukit Marwah. Maka selesailah ibadah umrah kami pada malam tersebut.

Puncak kedua-dua buah bukit jelas kelihatan, dengan bukit Safa dipagar dan bukit Marwah disaluti bahan kimia, mungkin untuk memeliharanya daripada rosak disebabkan oleh mamahan usia atau disebabkan fikiran khurafat manusia. Hari ini jemaah melakukan sa`ie dalam tempat khusus dengan sistem penghawa dingin yang selesa. Berbeza dengan zaman dahulu, jemaah melakukan sa`ie di tengah-tengah kesibukan deretan kedai para penjaja. Dan sesungguhnya berbeza dengan kisah Siti Hajar yang berulang-alik di bawah terik mentari sepanjang tanah berliku, curam dan tidak rata.

Sesungguhnya Safa dan Marwah adalah sebahagian daripada syiar agama Allah. Maka sesiapa yang beribadah haji ke Baitullah atau berumrah, tidak ada dosa baginya mengerjakan sa`ie antara kedua-duanya.” [2]




[1] Al-Baqarah, ayat 30
[2] Surah al-Baqarah, ayat 158.


Arab Saudi | Makkah 01: Merindui Tanah Suci Makkah


Sebuah lorong kecil di Jalan Ajyad
















“Wahai Tuhan kami, sesungguhnya aku telah meninggalkan sebahagian daripada keturunanku di sebuah lembah yang tidak mempunyai apa-apa tanaman (dan) berhampiran dengan rumah-Mu (tapak Baitullah) yang mulia. Wahai Tuhan kami, (dengan demikian) agar mereka mendirikan solat. Maka jadikanlah hati-hati manusia cenderung kepada mereka dan rezekikanlah mereka dengan buah-buahan semoga mereka bersyukur.”[1]

Tiap-tiap manusia di muka bumi ini yang telah menjejakkan kaki ke bumi Makkah pasti akan cenderung kepadanya dan merinduinya. Hanya dengan memejamkan mata, kita seakan-akan merasakan angau pada alunan rasa rindu yang mengasyikkan kepada Tanah Suci Makkah. Tiada siapa menyangka sebuah lembah yang dahulunya tandus tidak berpenghuni, kini menjadi tumpuan jutaan jiwa yang mengimani keesaan-Nya.

Lena yang panjang sejak dari Terminal Haji dikejutkan oleh pengumuman pegawai Tabung Haji bahawa kami telah menghampiri kawasan hotel yang berdekatan dengan Masjidil Haram. Abang menyingkap tabir jendela bas dan memerhati kehidupan di Makkah. Menara Abraj Al-Bait tersergam megah dari kejauhan. Jalan raya penuh sesak. Orang ramai berasak-asak. Makkah jelas sudah pun dibanjiri jutaan Jemaah haji dari seluruh pelusuk dunia.

Jalan raya di sekitar Makkah sentiasa dipenuhi orang ramai yang berpusu-pusu pergi dan pulang dari Masjidil Haram

Setelah melalui jalan berliku-liku di tengah-tengah kota Makkah, akhirnya bas kami tiba di Hotel Al-Shohada, terletak lebih kurang 650 meter dari Masjidil Haram. Alhamdulillah, syukur kami semua selamat sampai dalam keadaan bas yang uzur dan bermasalah. Sambil mengendong beg sandang menuju ke kamar hotel, abang dapat merasakan peluh-peluh membasahi segenap badan, diserap oleh kain ihram putih yang tebal. Siapa bilang ibadah haji itu untuk bersedap-sedap dan berselesa, bukan?

Bagi tempoh tiga minggu di kota Makkah, abang ditempatkan sebilik dengan Mak dan Kak Fiza. Kamarnya mewah, lengkap serba ada segalanya. Syukur alhamdulillah. Lantaran keletihan mengembara dari jauh, kami masing-masing melelapkan mata untuk beberapa jam. Insya-Allah, seperti yang dijadualkan oleh Tabung Haji Travel, kami akan memulakan umrah pada jam 10 malam nanti.

Lampu-lampu yang menerangi Masjidil Haram. Makkah ialah kota yang tidak pernah lena (The City that never sleep)


Umrah di Tanah Suci

“Dan sempurnakanlah ibadat haji dan umrah kerana Allah.” [2]

Saat melangkah keluar hotel, abang terlihat sinaran lampu-lampu putih membias separa langit malam. Sudah tentu itu cahaya lampu-lampu Masjidil Haram. Di kiri dan kanan orang ramai berpusu-pusu dengan pelbagai macam dan pelbagai ragam. Seperti kami, ramai juga jemaah lain yang sedang berihram.

Abang melangkah masuk ke dalam Masjidil Haram dengan bismillah. Melewati pintu King Abdulaziz anak mata abang tercari-cari Kaabah. Kerana itu kiblatku semenjak kali pertama abang diajar solat oleh ustazah. Di celah-celah kesibukan jutaan manusia melakukan tawaf abang terlihat Kaabah tersergam indah. Abang terpana seolah-olah ia pandangan kali pertama.

Merenung Kaabah. Kita tidak pernah akan bosan.
















Binaan ini yang tersergam sejak jutaan tahun dahulu. Binaan ini menjadi arah hamparan sejadah untuk solatku yang tidak terhitung waktu. Abang tidak dapat melihat Sang Pencipta itu di mana. Namun menyaksi Kaabah di hadapan mata, abang merasa seolah-olah lebih hampir dengan-Nya. Indahnya setiap saat itu tiada kata untuk mencerita. Allah Maha Besar. Allahuakbar.

Kegembiraan dan kesyukuran hanya terzahir dengan linangan air mata membasahi pipi tanpa dipaksa. Di celah-celah ratusan manusia itu, abang menadah tangan dan mengalirkan air mata kesyukuran saat kali menatap Kaabah di hadapan mata. Pelbagai rasa menyatu dalam jiwa. Dalam tangisan itu juga abang menyesali segala dosa-dosa. Menyesali sifat-sifat mazmumah yang sudah beraja. Menyesali sejarah lama yang tidak boleh dibangga. Menyesali segala keengganan ketika suatu masa yang tidak bisa diputar semula. Apa nilai abang di sini, di hadapan Kaabah, diri sendiri tertanya. Malunya bukan kepalang tatkala menghadap Sang Pencipta dengan wajah penuh terpalit dosa. Walaupun lebih ramai yang lebih bertaqwa. Walaupun sudah banyak nikmat-Nya telah terdusta. Namun abang masih dipilih oleh-Nya. Abang, dan bukannya lain jutaan manusia.

Maka nikmat Tuhan yang manakah yang kamu dustakan?” [3]



[1] Surah Ibrahim, ayat 37. Dikatakan doa ini dibacakan oleh Nabi Ibrahim AS setelah meninggalkan Siti Hajar dan Nabi Ismail AS di Makkah.
[2] Al-Baqarah, ayat 196.
[3] Al-Rahman, ayat 36


Arab Saudi | Jeddah 01: Ada Apa dengan Terminal Haji

Jemaah Haji Malaysia menunggu
















Ketibaan di Terminal Haji Lapangan Terbang Antarabangsa King Abdulaziz Jeddah

Kedua-dua kembara umrah (2011) dan haji (2013) bertitik tolak dengan ketibaan di Terminal Haji Lapangan Terbang Antarabangsa King Abdul Aziz Jeddah. Saat melangkah keluar daripada kapal terbang, abang mula terasa bahang mulus di tanah tandus. Suasana ini cukup asing bagi diriku yang jarang merantau ke benua lain. Kalau sudah iklimnya berbeza, sudah tentu persekitarannya turut sama bezanya.


Walaupun laman sesawang Frommers.com menobatkan Terminal Haji Lapangan Terbang Antarabangsa King Abdulaziz ini pada tangga pertama, pada abang, gahnya lapangan terbang ini cuma pada keluasannya dan reka bentuk bumbungnya yang mampu mengurangkan bahang panasnya bumi Arab. Namun aspek kebersihan dan servis adalah terlalu asas dan masih banyak yang perlu mereka pelajari daripada lapangan terbang negara lain seperti Malaysia (KLIA), Singapura (Changi) dan Thailand (Suvarnabhumi).

Tidak begitu banyak yang abang kenali tentang Jeddah. Seperti kebanyakan para jemaah Haji dan umrah yang lain, Jeddah hanyalah sekadar tempat persinggahan sementara sebelum meneruskan kembara ke Tanah Haram Makkah atau Madinah.

Di luar terminal Haji, petugas Tabung Haji sedang melayan kerenah Jemaah pelbagai ragam


Detik-detik Imigresen Terminal Haji

Seorang pegawai imigresen menyapa Selamat Datang dengan pelat lidah Pak Arab. Abang tersenyum, sudah pastinya mereka biasa dengan frasa Bahasa Melayu pendek dan mudah seperti selamat datang, terima kasih, sama-sama dan beberapa figura (seperti satu, dua, tiga, sepuluh, lima puluh) bagi urusan jual beli. Tatkala jemaah Malaysia sedang beratur untuk tujuan pengesahan passport, beberapa pegawai memimpin jemaah haji Malaysia yang tua dan uzur untuk diberikan keutamaan di kaunter. Abang tersenyum lagi. Orang Arab di sini tidaklah sekasar yang digambarkan. 

Persepsi itu kekal untuk beberapa saat. Sahaja.

Setibanya di kaunter, pegawai imigresen mengambil keputusan untuk menutup kaunter dan menyuruh kami ke kaunter bersebelahan. Di kaunter bersebelahan, pegawai tersebut juga mengambil keputusan untuk menutup kaunter dan menyuruh kami ke kaunter sebentar tadi. Umpama bola tennis yang dilantun ke sana sini kami dibuatnya. Maka di hadapan kami, berlakulah perbalahan yang kurang profesional sesama mereka sehinggalah seorang daripada mereka mengalah dan terpaksa menguruskan dokumen ketibaan kami dengan berdecit lidah tanda protes tidak puas hati.

Mungkin sebab itu Nabi Muhammad SAW diturunkan kepada kaum Arab, bagi menunjukkan bagaimana Islam itu suatu agama suci yang dapat melembutkan sekasar-kasar bangsa. Maaf kata.

Ketibaan Jemaah kami pada waktu pagi
















Usai urusan imigresen, kami berjalan menuju ke tempat tuntutan bagasi. Jemaah lain sudah tidak kelihatan, sudah lebih maju kehadapan barangkali. Dari kejauhan terlihat tiga buah bagasi besar warna hijau terasing ke tepi, bagai tidak bertuntut tidak bertuan lagi. Tercegat tiga orang pekerja memerhati siapakah gerangan tuan empunya bagasi-bagasi ini. Abang berikan senyuman dan hulurkan sedikit ‘buah tangan’ sebagai upah tolong menjagakan. Lantas kami berlalu pergi.

Di mesin scan bagasi, pegawai bertugas meminta abang membuka komputer riba untuk diperiksa dan diteliti. Tingkahnya kasar, bikin hati gusar. Setelah meneliti skrin yang bernyala tanpa berbuat apa-apa, pegawai tersebut mengarahkan kami supaya segera pergi. Apa beliau fikir abang membawa bahan pornografikah ke mari? Mungkin kalau iya, abang sudah mati dipanah petir saat melangkah kaki keluar pesawat sebentar tadi. Sengaja mahu tunjuk kuasa, sengaja mahu melambat masa, ujar seorang pegawai Tabung Haji yang bertugas.

Bisik hati, dugaan haji sudah bermula. Ujar sinis rakan, itu kaffarah dosa. Kedua-dua pendapat ada benarnya. Cuma dalam dua perspektif, abang tidak suka memilih negatif. Bahawa segala yang buruk dalam pengalaman kembara haji itu merupakan kaffarah dosa. Jika begitu, adakah kita dijemput ke Tanah Suci ini semata-mata untuk dihukum oleh-Nya? Jika begitu dangkal persepsi tentang Haji, maka tidak ramai orang yang mahu menjejakkan kaki ke Tanah Suci kerana khuatir dihukum sedemikian rupa.

Keadaan dalam bas. Ada penghawa dingin. Cukuplah
















Abang melihat Haji sebagai suatu undangan Sang Pencipta kepada satu peluang untuk merasa lebih rapat dengan-Nya, dan di sepanjang kembara itulah Sang Pencipta akan memimpin kita untuk bermuhasabah diri supaya sentiasa sabar, syukur dan redha. Nikmat-Nya diberi tanpa kita duga dan salahnya kita akan ditegur oleh-Nya. Moga-moga kita menjadi hambanya yang lebih baik dari sebelumnya. Insya-Allah.

Pada musim Haji, abang sering diingatkan. Penantian itu suatu kelaziman. Menanti selama tiga hingga lima jam itu perkara yang perlu dibiasakan. Sediakan bekalan makanan dan minuman. Banyakkan sabar dan doa, insya-Allah segalanya akan dipermudahkan. Abang turut berdoa moga masa yang panjang dapat dirasakan seperti dipendekkan. Zikir dan doa sentiasa meniti di bibir dan lidah. Mengapa agaknya zikir dan doa di Malaysia tidak begitu mudah? Abang sebenarnya sudah lama tidak berzikir. Astaghfirullah.

Bagasi-bagasi kami diikat rapi di atas bumbung. Namun saat diturunkan, mereka baling sahaja ke bawah.


Setelah lebih lima jam berada di lapangan terbang, akhirnya bas kami pun tiba. Perjalanan dari Jeddah ke Makkah biasanya akan mengambil masa kurang dua jam. Walau bagaimanapun, keadaan lalu lintas ketika musim haji sukar diduga. Tambahan pula, Kerajaan Arab Saudi menetapkan supaya kami melapor diri di dua hentian berbeza. Tidak cukup dengan itu, kami diuji dengan enjin bas yang hampir rosak dan memperlahankan kembara ke Tanah Suci. Masya-Allah. Kami perbanyakkan sabar dan doa. Rabbi Yassir wala Tuassir.


Terfikir sejenak, bagaimana kembara orang dahulu kala. Menaiki unta. Kenderaan terbuka. Bahang terasa. Kita hari ini sebenarnya banyak yang perlu disyukurkan.



 

Footer Widget #1

Instagram

Sosial

http://i62.tinypic.com/fw2lif.png

Lepas Ni Abang ke

1. New Zealand | South Island
2. London | UK

3. Solo & Jogjakarta | Indonesia

4. Surabaya (Semeru & Bromo)
Copyright 2010 ABANG JALAN. All rights reserved.
Themes by Bonard Alfin | Distributed by: free blogger template videobest blogger templates of 2013 | best vpn anonymous best vpn on mac