Arab Saudi | Makkah 01: Merindui Tanah Suci Makkah


Sebuah lorong kecil di Jalan Ajyad
















“Wahai Tuhan kami, sesungguhnya aku telah meninggalkan sebahagian daripada keturunanku di sebuah lembah yang tidak mempunyai apa-apa tanaman (dan) berhampiran dengan rumah-Mu (tapak Baitullah) yang mulia. Wahai Tuhan kami, (dengan demikian) agar mereka mendirikan solat. Maka jadikanlah hati-hati manusia cenderung kepada mereka dan rezekikanlah mereka dengan buah-buahan semoga mereka bersyukur.”[1]

Tiap-tiap manusia di muka bumi ini yang telah menjejakkan kaki ke bumi Makkah pasti akan cenderung kepadanya dan merinduinya. Hanya dengan memejamkan mata, kita seakan-akan merasakan angau pada alunan rasa rindu yang mengasyikkan kepada Tanah Suci Makkah. Tiada siapa menyangka sebuah lembah yang dahulunya tandus tidak berpenghuni, kini menjadi tumpuan jutaan jiwa yang mengimani keesaan-Nya.

Lena yang panjang sejak dari Terminal Haji dikejutkan oleh pengumuman pegawai Tabung Haji bahawa kami telah menghampiri kawasan hotel yang berdekatan dengan Masjidil Haram. Abang menyingkap tabir jendela bas dan memerhati kehidupan di Makkah. Menara Abraj Al-Bait tersergam megah dari kejauhan. Jalan raya penuh sesak. Orang ramai berasak-asak. Makkah jelas sudah pun dibanjiri jutaan Jemaah haji dari seluruh pelusuk dunia.

Jalan raya di sekitar Makkah sentiasa dipenuhi orang ramai yang berpusu-pusu pergi dan pulang dari Masjidil Haram

Setelah melalui jalan berliku-liku di tengah-tengah kota Makkah, akhirnya bas kami tiba di Hotel Al-Shohada, terletak lebih kurang 650 meter dari Masjidil Haram. Alhamdulillah, syukur kami semua selamat sampai dalam keadaan bas yang uzur dan bermasalah. Sambil mengendong beg sandang menuju ke kamar hotel, abang dapat merasakan peluh-peluh membasahi segenap badan, diserap oleh kain ihram putih yang tebal. Siapa bilang ibadah haji itu untuk bersedap-sedap dan berselesa, bukan?

Bagi tempoh tiga minggu di kota Makkah, abang ditempatkan sebilik dengan Mak dan Kak Fiza. Kamarnya mewah, lengkap serba ada segalanya. Syukur alhamdulillah. Lantaran keletihan mengembara dari jauh, kami masing-masing melelapkan mata untuk beberapa jam. Insya-Allah, seperti yang dijadualkan oleh Tabung Haji Travel, kami akan memulakan umrah pada jam 10 malam nanti.

Lampu-lampu yang menerangi Masjidil Haram. Makkah ialah kota yang tidak pernah lena (The City that never sleep)


Umrah di Tanah Suci

“Dan sempurnakanlah ibadat haji dan umrah kerana Allah.” [2]

Saat melangkah keluar hotel, abang terlihat sinaran lampu-lampu putih membias separa langit malam. Sudah tentu itu cahaya lampu-lampu Masjidil Haram. Di kiri dan kanan orang ramai berpusu-pusu dengan pelbagai macam dan pelbagai ragam. Seperti kami, ramai juga jemaah lain yang sedang berihram.

Abang melangkah masuk ke dalam Masjidil Haram dengan bismillah. Melewati pintu King Abdulaziz anak mata abang tercari-cari Kaabah. Kerana itu kiblatku semenjak kali pertama abang diajar solat oleh ustazah. Di celah-celah kesibukan jutaan manusia melakukan tawaf abang terlihat Kaabah tersergam indah. Abang terpana seolah-olah ia pandangan kali pertama.

Merenung Kaabah. Kita tidak pernah akan bosan.
















Binaan ini yang tersergam sejak jutaan tahun dahulu. Binaan ini menjadi arah hamparan sejadah untuk solatku yang tidak terhitung waktu. Abang tidak dapat melihat Sang Pencipta itu di mana. Namun menyaksi Kaabah di hadapan mata, abang merasa seolah-olah lebih hampir dengan-Nya. Indahnya setiap saat itu tiada kata untuk mencerita. Allah Maha Besar. Allahuakbar.

Kegembiraan dan kesyukuran hanya terzahir dengan linangan air mata membasahi pipi tanpa dipaksa. Di celah-celah ratusan manusia itu, abang menadah tangan dan mengalirkan air mata kesyukuran saat kali menatap Kaabah di hadapan mata. Pelbagai rasa menyatu dalam jiwa. Dalam tangisan itu juga abang menyesali segala dosa-dosa. Menyesali sifat-sifat mazmumah yang sudah beraja. Menyesali sejarah lama yang tidak boleh dibangga. Menyesali segala keengganan ketika suatu masa yang tidak bisa diputar semula. Apa nilai abang di sini, di hadapan Kaabah, diri sendiri tertanya. Malunya bukan kepalang tatkala menghadap Sang Pencipta dengan wajah penuh terpalit dosa. Walaupun lebih ramai yang lebih bertaqwa. Walaupun sudah banyak nikmat-Nya telah terdusta. Namun abang masih dipilih oleh-Nya. Abang, dan bukannya lain jutaan manusia.

Maka nikmat Tuhan yang manakah yang kamu dustakan?” [3]



[1] Surah Ibrahim, ayat 37. Dikatakan doa ini dibacakan oleh Nabi Ibrahim AS setelah meninggalkan Siti Hajar dan Nabi Ismail AS di Makkah.
[2] Al-Baqarah, ayat 196.
[3] Al-Rahman, ayat 36

Comments

Popular Posts