Arab Saudi | Makkah 04: Arafah - Mengejar Mentari Petang



Gahnya Hari Arafah

Di bumi Arafah jemaah berhimpun, tempat bersujud memohon ampun, wukuf di tanahnya menjadi rukun. Haji tanpa Arafah umpama lauk tidak berencah atau mandi yang tidak basah. Berbicara tentang ibadah haji, Arafah ialah kemuncak yang dinanti.[1]

Di sini, Nabi Adam AS dan Hawa disatukan kembali setelah diturunkan ke bumi. Di sini, Nabi Ibrahim AS diasuh oleh Jibrail tentang manasik Haji. Di sini, turunnya ayat al-Quran yang terakhir sekali.[2] Dan di sini, Nabi Muhammad SAW menyampaikan khutbahnya buat terakhir kali.


Hakikatnya, Arafah bukan sahaja menjadi saksi lakaran peristiwa-peristiwa bersejarah berabad lamanya. Bahkan, hari Arafah telah dijanjikan dengan limpahan rahmat dan pengampunan dosa yang tidak terbanding dengan hari-hari yang lain. Allah SWT menciptakan setiap hari sepanjang tahun, namun hari yang paling mulia di sisi-Nya ialah hari Arafah.

“Wukuf yang kamu lakukan pada hari Arafah, sesungguhnya Allah SWT turun ke langit dunia (paling bawah) dan berbangga-bangga dengan kamu kepada Malaikat dengan firman-Nya: Hamba-hamba-Ku datang dari segenap pelusuk yang jauh, dalam keadaan tidak terurus dan berdebu-debu tubuh mereka, semata-mata mengharapkan syurga-Ku. Jika mereka datang dengan dosa sebanyak bilangan pasir, titisan hujan atau buih di lautan nescaya Aku akan menghapuskan kesemuanya. Allah SWT berfirman: Keluarlah kamu dari Arafah dengan dosa yang telah diampunkan daripada kamu dan bagi sesiapa yang kamu meminta ampun untuk mereka.” [3]


Pagi di Arafah
Sesekali abang terjaga dari lena dek dengkuran ayahanda-ayahanda umpama keretapi meluncur di landasan. Namun impak ubat selsema begitu hebat sehingga abang terlena jua penuh kepuasan. Setelah beberapa jam melelapkan mata, kira-kira jam 4:30 pagi abang dikejutkan. Alhamdulillah. Demam, batuk, selsema hilang dari badan. Kuasa Tuhan.

Membersihkan diri seawal pagi juga merupakan suatu misi. Jemaah beratur menanti giliran sendiri. Panjangnya barisan menggambarkan betapa terhadnya kamar mandi.

Sementara menanti kedatangan Subuh, kami solat sunat beramai-ramai di surau. Solat tahajjud, solat taubat, solat tasbih dan pelbagai jenis solat sunat yang abang belum pernah dengar sebelum ini. Bilangan rakaat tidak terhitung, namun kami gagahkan juga demi fadhilatnya. Akhirnya, azan Subuh berkumandang memecah hening pagi di bumi Arafah, bersahutan dan bergema sesama sendiri dari kejauhan.


Sedang dihenyak rasa bahang dan hangat, Arafah mencuit kita agar sering beringat. Tan Sri atau Datuk Seri semua ke tepi. Doktor atau professor semua hilang sohor. Datin atau Datuk semuanya tertunduk. Di muka pengadilan, di sisi Tuhan, Di Padang Mahsyar kita akan dihimpunkan, tanpa mengira pangkat atau kedudukan, semuanya membisu di hadapan pengadilan, yang ada cuma bekalan amalan.

Serabut dan kusut. Ihram yang menggulung tubuh ini umpama meregas segala bentuk keselesaan yang menyelubungi nafsu selama ini. Namun abang bersyukur lantaran segala kesakitan yang aku alami hari sebelumnya sirna semuanya.


Kemuncak Hari Arafah
Terngiang-ngiang bisikan sahabat abang, Fizri Said: “Tidurlah kau sepuas-puasnya pada sebelah pagi. Berdoalah sepuas-puasnya sepanjang petang hari. Andai kau termasuk golongan orang yang tertidur di kala itu, maka engkau rugi.”

Usai solat berjemaah Jamak Qasar Zuhur Asar, kedengaran alunan zikir taubat dan doa diperdengarkan. Setiap bait dan barisnya menjadi ikutan. Segala lafaz dan maknanya di bawah bimbingan.  Di sebalik kaca mata hitam itu, tewas juga hati keras abang yang akhirnya mengalirkan air mata. Pakcik-pakcik, abang-abang dan adik-adik di sekeliling abang sudah teresak-esak semuanya.


Dosa kepada ayahanda dan bonda seumur kehidupan. Dosa kepada isteri sejak bersamaan, Dosa kepada rakan-rakan dan sesame insan. Moga-moga dengan air mata berlinangan, dosaku hilang berterbangan.

Demi suatu permukiman yang amat singkat dan sementara, abang kuatkan semangat untuk terus berdoa kepada yang Maha Esa, Maha Mengetahui segalanya. Kehadiran abang di bumi Arafah pada hari ini adalah telah ditentukan. Dari jutaan manusia, abang dipilih oleh-Nya.


Umpama Tertutupnya Pintu Kemaafan
Doa abang tidak putus. Dari petang sehingga mentari bergerak perlahan-lahan ke ufuk senja. Seorang demi seorang bingkas bangun dari tempat masing-masing, maju kehadapan, seakan-akan mengejar mentari yang seolah-olah meninggalkan. Semakin hari semakin gelap. Mentari semakin lama semakin tenggelam. Mulut kami terkumat-kamit melafazkan doa apa yang terlintas di minda. Akhirnya mentari tidak kelihatan lagi, menandakan berakhirlah suatu peluang untuk kami semua memohon maaf lagi. Dan meminta lagi. Mungkinkah kami mendapat peluang sebegini lagi, kami tidak pasti.


“Pada hari ini, Aku telah sempurnakan bagi kamu agama kamu, dan aku telah cukupkan nikmatKu kepada kamu dan Aku telah redhakan Islam itu menjadi agama kamu…” (Surah al-Maidah, ayat 3)

Ya Allah, ampunkan dosa kami.




[1] “Haji itu ialah Arafah.” Sunan Abu Daud, No. 1949, Sunan al-Tirmizi, No. 889.
[2]Pada hari ini Abang telah sempurnakan bagi kamu agama kamu, mencukupkan nikmat-Ku ke atas kamu dan meredhai bagi kamu Islam sebagai agamamu.” (Surah al-Maidah, ayat 3). Diriwayatkan juga bahawa Tariq bin Shihab berkata: “Seorang lelaki Yahudi datang kepada Umar bin Al-Khattab lalu berkata: Wahai Amirul Mukminin, terdapat satu ayat dalam kitab kamu jika ini diturunkan kepada kami kaum Yahudi, kami akan jadikan hari ini sebagai satu perayaan. Lalu Umar bertanya: Apakah ayat itu? Katanya: (ayat Quran). Umar menjawab: Kami tahu hari dan tempat di mana ayat tersebut diturunkan kepada Rasulullah SAW iaitu ketika Baginda sedang berdiri di Arafah pada hari Jumaat (Sahih al-Bukhari No. 45, Sahih Muslim No 3017)
[3] Daripada Ibnu Umar, Rasulullah SAW bersabda dalam Sahih Muslim, no 1438.

Comments

Post a Comment

Popular Posts