Thailand | Bangkok 02: Mengesot dari Suvarnabhumi ke Hua Lamphong



Mengemas Dikemas Terkemas
Pinjam meminjam amalan mulia, maka dengan itu abang meminjam bagasi daripada rakan abang bernama Hazem Eslah. Selain perkakas kembara yang penting, bagasi tersebut menjadi sendat dengan makanan tempatan seperti udang kering, magi, sos tomato dan ikan bilis. Terima kasih kepada rakan luar negara abang, Melissa dan John dari Switzerland, yang tidak memesan yang bukan-bukan seperti kerbau dan kambing masuk dalam beg abang.

15 minit sebelum bertolak keluar rumah, abang terlihat lubang kecil di tepi bagasi yang sendat itu. Abang cuit. Baik, terkoyak terus. Gatal sangat tangan itu. Maka abang dengan penuh bergayanya memindahkan barang daripada bagasi backpack kepada bagasi berroda akademi fantasia.

Baru nak berlagak macam backpacker professional yang sudah panjat Grand Canyon bagai. Sedih. Rasa macam tak mahu kawan semua orang.

Kesedihan abang disambut titisan hujan petang. Semoga penerbangan tidak ditunda. Kalau AirAsia tunda juga abang mahu mogok lapar, boleh?

Terbang Sudah
Bagasi yang sudah didaftar masuk. Sebuah beg kamera. Buku merah (jangan lupa bawa moga-moga belum tamat tempoh). Semua ada. Maka abang dan Hazem Eslah bertolak ke Bangkok berdua. Rencananya mahu ketemu Melissa dan John di Bangkok. Dua jam penerbangan. Tiada ipad. Tiada buku. Tiada filem untuk ditonton. Cuma rakan bromance yang berdengkur umpama mesin air tebu masa bulan puasa. Abang bosan. Kau rasa?

Sampai Sudah. Kau Jangan Nak Berdengkur Sangat Boleh Tak
Sawadee (Selamat Datang). Alhamdulillah kami selamat tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Suvanabhumi yang indah. Megahnya umpama KLIA kita, cuma di setiap sudut dan bahagiannya dihiasi hasil seni yang memaparkan betapa kaya dan bangganya mereka dengan budaya dan warisan. Cantik sekali.  Oh, beza Bangkok dan Malaysia ialah sejam ya. Sila ubah jam tangan anda. Kalau tak mahu ubah sudah. Abang dah puas cakap. Tiba.

Menuju ke Hostel
Sejam di kaunter imigresen. Ramai sangat dah kenapa? Wah macam abang seorang boleh jalan-jalan kan? Haha. Hew. Abang bosan. Layan lah.

Apa yang abang suka dengan kembara di kota Bangkok (juga di kota Singapura) ialah pengangkutan keretapi yang sistematik, efisien dan murah! (Sky Train dan MRT Blue). MRT Blue Train kelihatan seperti sedikit ketat dari segi kawalannya. Nak masuk stesen siap kena scan segala tubuh badan dan beg yang dibawa. Mungkin rentetan peristiwa bom baru-baru ini.

Dari Stesen Suvarnabhumi > Makassan (Pertukaran Terminal MRT Blue Line... sila jalan sedikit dan bakar lemak anda) > Petchaburi > Hua Lamphong. Jarak dari stesen Hua Lamphong ke hostel kami kira-kira 30 saat. Tapi memandangkan Hazem Eslah bijak pandai salah belok, maka berjalanlah kami lagi 15 minit. Hua Lamphong Hostel nama diberi. RM 140 berdua untuk dua malam sila romen sampai lebam. Juga ada bilik dorm untuk enam orang. 30 saat berjalan kaki dari stesen keretapi Hua Lamphong MRT Blue, 60 saat berjalan kaki dari stesen keretapi Bangkok, 90 saat berjalan kaki ke 7-E, dan berdekatan dengan hentian bas, teksi dan tuk tuk. Apa yang tak cukup lagi di dunia ini?

Kalau suster ngesot duduk sini pun dia tak banyak bunyi sebab dekat dengan banyak tempat.

Wifi dengan kelajuan kuda (lupa bawa ipad maka nangis) kafe siber dengan caj minimal, kafe minum dan tonggang bagi yang gemar mabuk-mabuk, dobi (600 baht setiap kg), bilik tv dengan penghawa dingin dan dvd filem dan servis wisata kembara dengan pakej yang menarik. Semua ada. Abang suka.

Cuma tiada lif naik ke atas. Bilik tingkat 5. Sedangkan abang memiliki punggung yang berat untuk dibawa mendaki ke awan. Ini situasi kejam. Tak kelakar sungguh. 

Jejak Kasih
Kami bertemu John dan Melissa di kamar mereka di tingkat tiga. Sejam sesi jejak kasih haruslah tidak cukup untuk bergosip. Namun kami semua memerlukan tenaga untuk hari esok yang panjang. Melissa menghadiahkan kami beberapa kilo coklat dari Switzerland. Wah seronoknya! (Dan bertambah gemuknya kami?). Dan haruslah Melissa itu melompat sampai terhantuk siling saat melihat rencah tempatan yang kami bawa.

Esok hari, Melissa dan John mahu ke Myanmar. Maka abang dan Hazem perlu merencanakan aktiviti berduet esoknya. Mahu ke mana ya?

Hairi Tahir

Comments

Popular Posts